Maaf tak indah.

Kata dasar: maaf

Definisi: kerelaan melepaskan atau membebaskan seseorang daripada hukuman atau denda kerana sesuatu kesalahan (kekeliruan dsb)

Sinonim: ampun, magfirat, belas kasihan

Sumber: Kamus Dewan Edisi Keempat, Dewan Bahasa dan Pustaka
Pautan: http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=maaf


Aku mohon maaf pada kau.
Mengucapkannya kadang memang mudah. Tapi terimakah kita dengan hati terbuka?

Menuturkannya lancar terbit dari lidah. Tapi lahirkah dari hati kita yang benar?

Aku maafkan kau.
Sungguhpun ia indah, tetap meninggalkan kesan.

Sungguhpun ia indah, tetap merubah yang asal.

Maaf (Ayana, Mac 2020)


Memohon maaf dan memaafkan. 


Kadang dipilih sebagai solusi akhir bagi kejadian.
Sekecil peristiwa sehingga sebesar tragedi.
Sesantai perbualan sehingga timbul ketegangan.
Sesingkat pertemuan sehingga sepanjang perkenalan.

Dimana sahaja ia dipraktikkan. Di rumah, sekolah, juga di tempat kerja mahupun awam.
Analogi mudahnya; yang berbuat salah meminta maaf, dan dimaafkan.

Di rumah,

*sesama ahli keluarga
"Ibu, saya minta maaf pecahkan pasu bunga ibu." "Ibu maafkan kamu."
"Ayah, saya minta maaf bagi jahanam motosikal ayah." "Ayah maafkan kamu."
"Abang, saya minta maaf rosakkan XBox abang." "Abang maafkan kamu."
"Kakak, saya minta maaf makan kek coklat akak." "Kakak maafkan kamu."
"Adik, abang/kakak minta maaf baca diari adik." "Adik maafkan abang/kakak."
"Sayang, saya minta maaf sebab curang." "Sayang maafkan awak."

Jika benar memohon maaf dan memaafkan semudah itu. Pasti indah. Tapi maaf tak indah.

Di sekolah,

*dengan cikgu
"Cikgu, saya minta maaf tak siapkan kerja sekolah." "Cikgu maafkan kamu."
"Cikgu, saya minta maaf sebab tak turun solat jemaah." "Cikgu maafkan kamu."
"Cikgu, saya minta maaf tipu cikgu." "Cikgu maafkan kamu."
"Cikgu, saya minta maaf buat hal dalam sekolah." "Cikgu maafkan kamu."
"Cikgu, saya minta maaf akademik tak memuaskan." "Cikgu maafkan kamu."

*dengan kawan
"Wei, aku minta maaf ejek kau." "Aku maafkan kau."
"Wei, aku minta maaf buli kau." "Aku maafkan kau."
"Wei, aku minta maaf amek maggi kau." "Aku maafkan kau."
"Wei, aku minta maaf bagi hilang buku kau." "Aku maafkan kau."
"Wei, aku minta maaf tak tolong kau." "Aku maafkan kau."

Jika benar memohon maaf dan memaafkan semudah itu. Pasti indah. Tapi maaf tak indah.

Di tempat kerja,

*dengan bos
"Bos, saya minta maaf datang lewat." "Saya maafkan."
"Bos, saya minta maaf tak perform bulan ni." "Saya maafkan."
"Bos, saya minta maaf sales tak capai target." "Saya maafkan."
"Bos, saya minta maaf tipu client." "Saya maafkan."

*dengan rakan sekerja
"Wei, aku minta maaf tak dapat bayar hutang kau lagi." "Aku maafkan kau."
"Wei, aku minta maaf hilangkan barang kau." "Aku maafkan kau."
"Wei, aku minta maaf tak dapat cover shif kau." "Aku maafkan kau."
"Wei, aku minta maaf asyik minta rokok kau." "Aku maafkan kau."

Jika benar memohon maaf dan memaafkan semudah itu. Pasti indah. Tapi maaf tak indah.

Di tempat awam,

*orang awam tak dikenali
"Maaf." "Maaf."
"Maaf." "Maaf."
"Maaf." "Maaf."

Jika benar memohon maaf dan memaafkan semudah itu. Pasti indah. Tapi maaf tak indah.

Wujud pemalar pemboleh ubah memaafkan, banyak faktor difikirkan.
Kesan, keikhlasan, kesedaran, kebaikan, keburukan, perlu diambil kira.
Ditimbang pada dacing mahupun disukat timbang air.
Dicantum disusun untuk dinilai menilai kata akhir.
Jika mahu dikupas didebat setiap intinya, tidak cukup dinihari.

Kita gelar pesalah dan pemaaf.
Tidak semua mahu mengaku salah.
Tidak semua juga mahu menghulur maaf.

Semuanya terbit dari hati.
Bagaimana ia dilentur, dirupa, dididik, begitulah corak, hasil, rujuk.

Kadang kita meminta maaf tanpa memikirkan perasaan si pemaaf.
Kadang kita meminta maaf sekadar meminta maaf.
Kadang kita meminta maaf cuma untuk sedapkan hati pemaaf.

Berhenti sebentar. Tarik nafas. Hembus.
Persoal kembali diri kita, hati kita, akal kita.
Betulkah kata maaf dan ampun dari aku?
Atau aku sekadar mahu meneruskan kehidupan.
Tanpa rasa berselirat yang menggundah acapkali memikir.

Kita lihat dari perspektif kecil. Keluarga.
Andai kata dari keluarga belum cukup kita semai benih yang baik.
Bagaimana kita mahu merangkum keluasan yang lebih berganda.

Kadang pasu bunga ibu yang kita pecahkan itu hadiah terakhir daripada arwah kawan baiknya.
Kadang motosikal ayah yang kita jahanamkan itulah kenderaan punca rezeki sehariannya.
Kadang XBox abang yang kita rosakkan itu hasil ikat perutnya hampir berbulan.
Kadang kek coklat kakak yang kita makan itu sebenarnya untuk meraikan keberjayaan dietnya.
Kadang diari adik yang kita baca itu ada rahsia antara dia dengan Tuhan saja yang tahu.

Setiap itu ada akibatnya. Kesan terhadap individu.
Sama ada baik mahupun buruk.
Bagaimana individu tersebut menerima situasi tersebut.
Hati dan akal. Watak utama tiap diri.
Perlu selari jika mahu berdamai. Bertelingkah jika berlawanan.
Mainan diri. Monolog diri.

Dunia ini luas.
Janganlah kita pentingkan diri.
Cuba kita lihat sekeliling.
Sungguh beruntung kita sebenarnya.
Lengkap pancaindera, cukup asasnya.
Tidak usahlah kita merasa berat beban untuk meminta maaf, mahupun memberi maaf.

Kita semua pesalah. Kita semua juga pemaaf.






Comments

Popular Posts